Saturday, April 16, 2011

Modenisasi Merenggangkan Ikatan Kekeluargaan?


Salam sejahtera dan salam muhibah. Kali ini bahasa ibunda menjadi pilihan dan sememangnya berniat untuk menulis blog dalam pelbagai variasi bahasa. Seboleh-bolehnya saya akan memaksimumkan penggunaan Bahasa Melayu khususnya, yakni bahasa yang dah sebati dalam darah daging saya dan pada masa yang sama juga cuba untuk mengolah idea dalam Bahasa Inggeris serta Bahasa Mandarin. Sesekali teringin juga mencuba Bahasa Arab yang sekian lama dipelajari. Walaupun dari kecil belajar Bahasa Arab iaitu di sesi Kelas Fardu Ain dan Kelas Qiraati ; kelas luar, dan lima tahun belajar Bahasa Arab di sekolah menengah termasuklah Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, tetapi penguasaan bahasa tidaklah berada pada tahap yang baik. Mungkin persekitaran pada masa itu dan kurangya peluang untuk mengaplikasi apa yang dipelajari semaksimum mungkin menjadi sebab mengapa Bahasa Arab bukanlah bahasa yang boleh dikuasai dengan baik. Sempat juga saya mempelajari Bahasa Jerman sewaktu menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam. Tiga bulan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka belum cukup untuk memahirkan diri dalam penggunaan Bahasa Jerman dan pastinya bukan mudah walaupun ketika itu hanyalah subjek tambahan.

Berbalik dengan tajuk yang ingin dibincangkan pada kiriman kali ini, "Modenisasi Merenggangkan Jalinan Kekeluargaan?", merupakan isu yang didebatkan sesama teman- teman sekelas. Isu ini ditimbulkan guru Bahasa Mandarin yang sengaja mahu melihat pandangan kami sebagai pelajar.

Modenisasi dalam kehidupan amat sinonim dalam persekitaran kita. Dunia hari ini semakin maju serta moden, setiap hari pasti ada pembaharuan yang diperkenalkan dalam pelbagai aspek. Kita tidak mampu menolak pemodenan apatah lagi cuba menyekat arus pembangunan semata-mata ingin menjaga tali perhubungan kekeluargaan.


Ada benarnya kemodenan hari ini membataskan hubungan keluarga. Sebagai contoh, seorang anak yang sibuk bekerja di bandar agak sukar mencari masa terluang untuk bersama keluarga, apatah lagi golongan muda yang menetap di kawasan bandar dan hanya berpeluang menjenguk ibu bapa ketika pulang berhari raya.Berbeza dengan zaman sebelum ini yang mana anak lazimnya mempunyai masa yang lebih di rumah orang tua masing-masing di mana kebanyakannya bekerja di kampung sendiri dan menetap di kampung sendiri. Paling jauh pun mungkin "kampung sebelah".

Bagaimana pula kalau kita mengambil contoh yang lebih dekat dengan diri sendiri. Contohnya saya sendiri sebagai pelajar yang menuntut di luar negara. Apakah jalinan kekeluargaan masih utuh seperti sebelum kedatangan saya ke luar negara? Betulkah persepsi yang mengatakan arus pembangunan merencatkan ikatan kemesraan dalam sesebuah keluarga?Bagaimana pula dengan teknologi komunikasi hari ini yang ternyata lebih ke hadapan? Skype? YM? Namun ada juga yang mengatakan yang komunikasi maya tidaklah sebaik komunikasi langsung.

Jurang komunikasi bukan lagi menjadi isu kerana kemajuan yang kita kecapi pada hari ini sememangya penting dan banyak membantu kita. Setuju?Sebagai seorang anak, carilah masa lapang untuk bermesra dengan keluarga. Bagi yang jauh diperantauan, sebaiknya pulanglah setahun sekali jika berkemampuan.Konklusinya, ikatan kekeluargaan tidak pernah renggang. Tinggal kita menjaga hubungan yang ada tidak kira dalam apa jua situasi. Sekian dahulu untuk kali ini. Diharapkan isu-isu akan datang akan lebih menarik.
~Terimalah arus pembangunan secara positif dan jangan pernah menyalahkan arus pembangunan kerana kita perlu terus maju ke hadapan.

2 comments:

  1. Suatu permulaan yang baik. Dapat dikesan kekuatan daya ekspresi idea. Isu sepenting itu pasti memerlukan kupasan yang lebih mendalam dan panjang, namun sebagai cetusan isu, kiriman itu dikira dapat membuka ruang perbincangan selanjutnya. Jika diperluas bicaranya, makalah itu sesuai dikirimkan kepada editor majalah/akhbar.

    ~Warga Zhuan Jia Lou~
    Xisanhuan Lu

    ReplyDelete
  2. Terima kasih prof. Kupasan masih ditahap rendah. Insyaallah topik akan datang dapat lebih dikupas dengan lebih panjang dan lebih baik.

    ReplyDelete

More Than Words

05- More Than Words - Extreme...